Kamis, 11 September 2008

PENGARUH ISLAM DALAM BIDANG POLITIK
Pada zaman prasejarah mereka belum mempunyai sistem politik yang kompleks, tetapi mereka sudah mengamalkan sistem mesyuarat yang amat menitikberatkan rundingan dan kata sepakat untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Pada peringkat awal susunan organisasi tersebut adalah dalam bentuk unit-unit perkampungan seperti dewasa ini. Perpaduan dikalangan masyarakat Melayu pada masa lampau berdasarkan asas kekeluargaan dan kesukuan. Menurut Koentjaraningrat bermula dari organisasi desa, suku-suku yang kecil itu berkembang menjadi sebuah negara melalui penaklukan oleh salah satu persekutuan kelompok-kelompok yang kecil. Dengan itu struktur organisasi politik Melayu tradisional itu bermula dari desa dan kampung, kemudian diikuti dengan daerah atau jajahan dan seterusnya negeri. Ketua kampung merupakan pemimpin yang terkecil.
Pembesar menjadi pemimpin pada peringkat daerah atau jajahan dan raja menjadi pemimpin atau ketua organisasi politik pada peringkat negeri, menurut Ralph Linton, organissai politik penduduk alam Melayu sebelum dipengaruhi peradaban luar merupakan unit-unit politik yang kecil pada peringkat desa yang diketui oleh pemimpin mereka yang beranama penghulu. Seringkali permasalahan pentadbiran pada peringkat desa tersebut dibincangkan melalui mesyuarat dikalangan anggotanya terutaman dikalangan ahli-ahli yang sudah tua. Pada ketika ini unit yang terkecil itu penduduknya biasanya terdiri daripada anggota-anggota yang mempunyai pertalian darah atau berasal dari suku yang sama.
Apabila pengaruh Hinddu Buddha mulai memasuki alam melayu, organisasi politik pada awal masihi mulai berkembang daripada bantuan penguasaan bagi satu kawasan yang kcil kepada sebuah organisasi politik yang besar dan menguasai jajahan yang luas. Sistem pentadbiran politik Hindu telah diserap oleh orang melayu dan dilaksanakan setelah dilakukan berbagai penyesuaian,.
Ketua negara yang memimpin keraJaan dinamakan raja iaitu istilah yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit. Konsep raja yang berkembang dalam masyarakat Melayu adalah sebagai pemimpn kerajaan. Disamping itu raja juga dikatakan berketurunan dewa-dewa. Konsep dewaraja ialah kepercayaan dan salasilah raja-raja yang diwujudkan secara ciptaan tadi dikaitkan dengan dewa-dewi dari kayangan penjelmaan daripada Shiva, Vishnu atau Brrahma, lelembut, mamang atau makhluk halus yang tidak dapat dipandang mata dari sudut asal usul dan tradisi keturunan nenek moyang mereka, ini adalah warisan dari tradisi Melayu-Hindu. Raja-raja seperti yang disebut di dalam hikayat Pedawa Lima karya saduran daripada dewa-dewa atau tuhan yang disebut dewaraja. Dalam sistem politik pengaruh Hindu ini raja dianggap sebagai berdatah dewa atau penjelmaan dewa dari kayangan. Untuk menyesuaikan dengan kepercayaan tersebut, maka raja-raja di Pulau Jawa telah mendirikan istana mereka ditempat yang tinggi seperti kerajaan Sailendra (gunung) kerana dipercayai bahawa syurga terletak di atas gunung.
Selepas raja Melaka menganut agama Islam, sistem pemerintahan pun disesuaikan dengan agama Islam. Walaubagaimanapun pengaruh Hindu masih lagi berlanjutan. Beberapa perubahan telah berlaku misalnya gelaran Sri Maharaja yang dipakai dalam kerajaan Srivijaya telah diubah kepada gelaran Sultan. Seperti raja-raja Islam di India dan Asia Barat. Pemikiran Hindu yang menganggap raja sebagai keturunan dewa dihapuskan dan digantikan Sultan sebagai bayangan Tuhan atas muka bumi. Untuk kekalkan sifat keistemewaan sultan, maka ditonjolkan kepercayaan bahawa sultan itu mempunyai kuasa luar biasa disebut ‘daulat’. Dalam menjalankan pentadbiran negara, sultan masih mengekalkan sistem politik yang lama yang mengandungi pengaruh Hindu.
Dari segi politik, terdapat perubahan yang jelas bila wujudnya kerajaan Melayu-Islam yang berpunca dari gerakan dakwah Islamiah oleh mubaligh-mubaligh dan ulama-ulama yang datang ke rantau ini. Sebelum wujudnya pemerintahan yang bercorak Islam ianya didahului oleh penempatan atau perkumpulan orang-orang Islam yang menduduki di sesuatu daerah. Di Nusantara pertama kali terdapat masyarakat Islam yang dikenali sebagai Ta-Shih pada tahun 674 Masihi. Ta-Shih ialah suatu panggilan kepada orang-orang Arab di rantau ini, yang terdapat di Pantai Barat Sumatera dan di Jawa. Bagi menjamin keselamatan agama dan negara, kerajaan-kerajaan Islam terpaksa menjalinkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan kuasa-kuasa besar Islam ketika itu seperti kerajaan Turki. Kerajaan Acheh telah mewujudkan satu jabatan bagi mengurus hubungan luar. Kerajaan Acheh memulakan perhubungan persahabatan dengan kerajaan Turki pada tahun 1516 Masihi. Menerusi hubungan tersebut Turki membekalkan alat-alat senjata dan penasihat-penasihat tentera kepada Acheh. Dengan itu, kerajaan tersebut dapat mengukuhkan pertahanannya terutama bagi menghadapi ancaman Portugis. Hubungan yang wujud di antara ke dua negara ini telah menyebabkan perubahan kepada teknologi dan ketamadunan antara keduanya. Sebagai negara yang telah menerima ajaran Islam, unsur-unsur politik Islam yang berbentuk sejagat, saksama, adil, mengenal hak dan bertanggungjawab telah mempengaruhi masyarakat Nusantara. Konsep pendewaan kepada raja-raja sehingga ke tahap menyembah telah bertukar kepada konsep sultan atau kesultanan yang hanya sekadar memuliakannya sebagi seorang yang mempunyai kuasa pemerintah, sebagai ketua negara.
Mereka adalah orang yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang, melakukan keadilan, menjaga keamanan, memelihara hak-hak serta kepentingan rakyat. Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat tetapi tidaklah dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti zaman Hindu. Bagaimanapun rata-rata masyarakat masih menganggap yang sultan itu mempunyai daulat, kedudukannya mengatasi undang-undang sehingga tidak boleh dikenakan sebarang hukuman. Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang mendapat berbagai-bagai keistimewaan dan kemudahan sama ada dari segi penyibaran, pentadbiran dan perlaksanaan hukum-hukumnya. Selain dari undang-undang kekeluargaan Islam, perkara-perkara yang bersangkut dengan muamalah ada juga setengah daripada undang-undang jenayah Islam dilaksanakan walaupun secara yang kurang sempurna dan komprehensif. Di Melaka sebagai contoh terdapat perlaksanaan hukum zina dan mencuri secara Islam yang terdapat dalam peruntukan Hukum Kanun Melaka. Berpandu kepada situasi tersebut, kerajaan Melaka dikatakan sebagai sebuah kerajaan Islam dan juga menjadi sebuah empayar Islam di Asia Tenggara. Begitu juga denagn kerajaan Acheh yang berpengaruh selepasnya. Rata-rata struktur politik kerajaan Islam di Nusantara mengembelingkan tenaga seluruh rakyat bagi memperjuang dan mempertahankan ajaran Islam, negara dan umatnya. Justeru itu semangat jihad yang tidak mengenal lelah semata-mata untuk berbakti kepada Allah sama ada dalam bentuk fizikal (kekuatan tenaga dan senjata) mahupun mental (perang saraf) digerakkan pada sepanjang masa. Rakyat sentiasa digerak supaya kasih dan cintakan tanah air, kerana kecintaan kepada negara itu merupakan sebahagian daripada iman. Mereka juga ditiupkan dengan semangat kerjasama dan perpaduan dengan menganggap bahawa seluruh umat Islam itu adalah satu anggota (ummah wahidah). Akibat dari semangat tersebut, muncullah konsepsi bahawa seluruh umat Islam di dunia ini adalah bersaudara.
PENGARUH ISLAM DALAM BIDANG SOSIAL
Walaupun tidak sepenuhnya unsur-unsur sosial Islam yang menyerap ke Nusantara dapat mempengaruhi masyarakat, namun sudah terdapat nilai-nilai persamaan taraf antara manusia, tidak wujud lagi sistem perhambaan dan amalan kasta yang membimbangkan. Komunikasi antara kelompok manusia dapat berjalan dengan sempurna, ianya dapat dijalin menerusi sifat hormat-menghormati, bergotong-royong dan bantu-membantu. Dalam Islam unsur-unsur tersebut amat ditekankan kerana ianya merupakan sebahagian daripada amal salih. Perubahan sosial juga berlaku dengan adanya revolusi mental yang diketengahkan oleh Islam dalam masyarakat di Nusantara. Semua ajaran Islam mengandungi unsur-unsur rasionalisme, di mana Islam telah menekankan konsep sama taraf antara manusia di sisi Allah. Semua manusia adalah berasal dari Adam a.s. dan Adam a.s. dijadikan dari tanah. Oleh itu yang maha berkuasa ialah Allah, Dialah yang menjadikan segala makluk, kemudian mematikan dan akhirnya dihidupkan semula, kepadaNya sahaja yang wajib disembah. Begitu juga Islam menonjolkan unsur-unsur metafizika yang berkaitan dengan rukun iman dan perkara-perkara yang berhubung dengan Sam’iyyat di samping unsur-unsur Hukum Syarak yang terdiri dari perkara-perkara wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Unsur-unsur tersebut amat mempengaruhi pemikiran mereka, oleh itu segala kerjaya dan tindak-tanduk mereka bukan semata-mata didorong oleh kesenangan duniawi tetapi juga untuk mendapat keredaan Allah dan pembalasan di akhirat. Dalam melakukan sesuatu pekerjaan mereka lakukan secara ikhlas dan bersungguh-sungguh di samping memperhitungkan sama ada ianya halal atau haram. Tegasnya semua kegiatan yang dilakukan sama ada dari aspek sosial, ekonomi, politik dan lain-lain adalah didasar oleh pemikiran dan petunjuk Islam.
Pengaruh Islam tidak dapat dinafikan telah membawa nilai – nilai baru dalam sejarah kehidupan masyarakat di Nusantara.Kedatangan Islam telah memperkenalkan ilmu pengetahuan yang ilmiah dan akliyah yang sesuai dengan fitrah manusia seperti Tasawwuf, Fekah, Qalam, Tauhid, Usuluddin, Filsafah, Mantiq, Tafsir dan Hadith.Kedatangan Islam juga telah mewujudkan nilai – nilai kesedaran perihal keperibadian insan atau hak orang perseorangan dalam kehidupan masyarakat Melayu.Pengaruh ini dapat dibuktikan dengan cara hidup dan amalan Islam seperti dalam bidang perkhawinan ataupun Munakahat.
Kedatangan Islam hanya memberi suatu kelanjutan terhadap kegiatan ekonomi yang sedia wujud atau sekurang-kurangnya memberi wajah baru atau konsep serta matlamat baru dalam aspek perdagangan dan ekonomi masyarakat Nusantara. Sebagaimana diketahui umum masyarakat Nusantara juga tidak terlepas dari sistem perniagaan tukar barang ataupun sistem barter.Hasil perhubungan antara timur dan barat khasnya pedagang – pedagang dari Timur Tengah telah memperkenalkan matawang.Dalam konteks Islam pula ini dinamakan muamalat.Sistem perniagaan yang adil dan terkenal dengan ketelusan telah memainkan peranannya untuk membuktikan bahawa pengaruh Islam berkembang kerana sistem ekonominya.
PENGARUH ISLAM DALAM BIDANG EKONOMI
Konsep ekonomi Islam bukanlah semata-mata kebendaan atau kekayaan yang menjadi matlamat akhir dari segala kegiatan ekonomi atau dengan lain perkataan bukanlah semata-mata bertujuan duniawi tetapi apa yang menjadi matlamat akhir ialah keredaan Allah. Oleh itu segala kegiatan ekonomi sentiasa dipengaruhi oleh hukum yang ditetapkan oleh syarak, sama ada halal atau haram. Justera itu mereka tidak diizinkan melakukan riba, merampas, penipuan dalam jual beli, monopoli perdagangan dan lain-lain. Bagi mendapat keredaan Allah dan kepentingan masyarakat umum, kekayaan yang didapati hendaklah dikeluarkan zakat dan digalakkan pula untuk berwakaf dan melakukan amal jariah. Itulah konsep dan matlamat akhir kebendaan dan kekayaan dalam Islam yang mempengaruhi masyarakat Nusantara. Corak jual beli berlandaskan Al Quran dan sunnah s.a.w. ini telah memainkan pengaruh yang utama dalam bidang perdagangan di Melaka pada waktu itu.
Jawatan Penghulu Bendahari yang diwujudkan pada waktu itu juga membuktikan bahawa kebajikan untuk pedagang – pedagang yang datang ke Melaka telah diberi layanan yang sempurna.Ketelusan dalam perniagaan berlandaskan hukum halal, haram dan sebagainya ini telah menarik minat mereka yang bukan beragama Islam untuk memeluk Islam.Jelaslah bahawa pengaruh ekonomi memainkan peranan penting kepada perubahan dan pola hidup masyarakat pada waktu itu.
PENGARUH ISLAM DALAM BIDANG PENDIDIKAN
Pengaruh Islam dalam semua bidang sama ada secara kukuh atau sederhana rasanya adalah berpunca dari kejayaan Islam itu sendiri dalam menyibarkan ilmu pengetahuan dan pendidikannya. Agama dan ilmu pengetahuan merupakan dua angkubah yang saling berkait dan pengaruh mempengaruhi, boleh diibaratkan sebagai roh dengan jasad bagi sesuatu badan. Tidak bergerak jasad tanpa roh begitu juga tidak berfungsi roh tanpa jasad. Dengan kata lain bahawa ilmu merupakan alat yang paling unggul dalam pengukuhan iman dan takwa, tidak sempurna iman seseorang tanpa ilmu pengetahuan begitu juga tidak berperanan ilmu secara hakikinya tanpa iman. Bersama-sama dengan kedatangan Islam di mana-mana sahaja, maka berkembanglah ilmu pengetahuan dan pendidikannya. Di Melaka, sultannya yang pertama, Megat Iskandar Shah 1414 Masihi hingga sultan-sultan yang akhir sebelum tahun 1511 Masihi begitu mengambil berat tentang perkembangan pelajaran dan pendidikan Islam. Di Melaka bukan sahaja rumah-rumah, masjid dan surau berperanan sebagai pusat pengajian Islam bahkan juga istana-istana sultan. Fungsi istana selain dari tempat belajar dan bermuzakarah ianya berperanan sebagai perpustakaan, tempat penterjemahan dan penyalinan buku-buku. Golongan raja-raja dan pembesar-pembesar bukan sahaja menggalakkan rakyat supaya mencari serta mendalami ilmu pengetahuan Islam bahkan mereka sendiri melibatkan diri dalam kegiatan tersebut secara yang bersungguh-sungguh. Kemajuan ilmu pengetahuan bukan sekadar peringkat rendah bahkan sudah sampai ke peringkat yang lebih tinggi. Ulama-ulama asing yang datang ke Melaka sejak awal hingga kejatuhannya diberi kedudukan yang tinggi dalam hirarki sosial di Melaka setaraf dengan pembesar dan pentadbir. Rakyat jelata digalakkan supaya belajar di mana-mana sahaja pusat pengajian ketika itu dengan memberi penekanan intensif terhadap pengajian al-Quran dan asas agama. Hasil dari kegiatan pengajian Islam yang dipelopori dan diawasi oleh sultan-sultan bukan sahaja dapat menghapuskan buta huruf bahkan dapat melahirkan tokoh-tokoh agama dari kalangan tempatan. Dikatakan Raja Alauddin Riayat Shah (1477 - 1488 Masihi) sendiri adalah seorang ulama. Pengajian Islam di Melaka sudah sampai ke tahap yang tinggi dan ianya bukan menjadi peringkat pengajian yang semata-mata diletak ke bahu rakyat bahkan golongan raja-raja dan pembesar sama-sama terlibat. Berpunca dari kemajuan ilmu pengetahuan itulah menjadikan Melaka begitu kuat berpegang dengan ajaran Islam di samping menjadi pusat penyibaran Islam yang terpenting di Asia Tenggara ketika itu. Agama Islam menyebabkan lahir satu pendidikan yang teratur dan sistematik. Pendidikan agama yang diajar di masjid dan surau dikembangkan menjadi pendidikan yang lebih praktikal, yang dikenali sebagai sekolah pondok. Sistem pendidikan pondok menjadi asas kepada masyarakat di Nusantara untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah dalam pendidikan Islam. Dengan kejatuhan Melaka pada tahun 1511 Masihi, Acheh mengambilalih menjadi pusat pengajian Islam yang dinamis di rantau ini. Kemajuan dan perkembangan pelajaran dan pendidikan di Acheh merupakan satu kesinambungan yang diasaskan oleh kerajaan Perlak dan Pasai sebelumnya. Para ulama dipandang tinggi sehingga seseorang ulama boleh memangku jawatan sultan bila ia mangkat sebelum dilantiknya sultan yang baru. Kedudukan ilmu pengetahuan begitu penting di Acheh, di mana ia dijadikan syarat bagi seseorang calon untuk memegang sesuatu jawatan dalam kerajaan. Selepas zaman kegemilangan Acheh, pelajaran dan pendidikan Islam tersibar melalui pusat-pusat pengajian di Jawa, Riau, Banjar, Patani, Kedah, Kelantan dan sebagainya.



PENGARUH ISLAM DALAM BIDANG KESENIAN
Dalam bidang kesenian, pengaruh India dapat dilihat pada binaan dan bangunan agama. Dalam hal ini pengaruh India jelas kelihatan pada penggunaan batu dan bata sebagai bahan utamanya kerana ia merupakan bahan yang lebih kekal dan dianggap sesuai untuk membina rumah dewa dan dewi. Oleh sesab itulah tugu agama yang dibina pada zaman purba masih dapat dikesan sehingga kini. Pengaruh ini jelas dilihat pada ukiran seni pahat dindingnya patung dewa Logam yang berupa arca. Terdapat patung dewa trimurti iaitu Siva, Vishnu dan Brahman dalam pelbagai bentuk dan gaya. Selain itu, terdapat patung Kuwera dan Hariti yang juga dipuja dalam agama Buddha. Dari segi ukiran, yang menjadi pola hiasan pada dinding candi-candi atau kuil ialah makhluk ajaib dan tumbuh-tumbuhan, sesuai dengan suasana Gunung Mahameru.
Antara motif ukiran yang selalu digunakan ialah seperti kepala Kala, daun-daunan, ranting-ranting dan bunga Teratai. Selain hiasan ini terdapat 'relief' yang menggambarkan sesuatu cerita, antaranya berd asarkan kitab Ramayana. Daripada barang-barang logam pula, terdapat arca dan benda lain seperti lampu, talam pedupan dan sebagainya. Jika dikaji dari segi fungsi pembinaan candi ini, didapati pengaruh peribumi masih kuat pengaruhnya, sebenarnya candi-candi bukanlah kuil tempat pemujaan dewa-dewa seperti di India, tetapi lebih merupakan tempat pertemuan rakyat dengan roh nenek moyangnya terutama roh raja-raja. Contohnya candi Borobodur, sungguhpun bangunannya berbentuk stupa (tempat menyimpan abu mayat Buddha) namun pada hakikatnya adalah makam nenek moyang 10 orang Raja Sailendra. Tafsiran yang paling tepat tentang candi itu ialah pada satu pihak ia mencerminkan nilai tertinggi Buddha-Mahayana, sedangkan pada satu pihak yang lain bermaksud untuk memuja nenek-moyang dinasti Sailendra.
Dalam bidang keseniaan pengaruh Islam pula dapat dilihat pada makam atau batu nisan, masjid dan perhiasan-perhiasannya. Batu nisan merupakan karya seni Islam yang pertama sekali masuk ke nusantara. Contohnya yang pernah ditemu i ialah batu nisan Syeikh Abdul al-Qadir Husain Alam bertarikh 903 masihi yang dijumpai di Linggir Kedah. Pada permukaan makam-makam yang dijumpai ini terdapat tulisan yang dipahat daripada ayat al-Quran serta ajaran Islam yang menekankan tentang hukum dan tasawuf. Misalnya pada prasasti di Pekan, Pahang. Tertulis ayat al-Quran dengan gaya khat thuluth daripada surah Ali Imran ayat 185, Surah Yunus ayat 62 serta nasihat bercorak kesufian. Dari segi coraknya, batu nisan tersebut disamping menerima pengaruh asing, juga memancarkan daya kreativiti penduduk tempatan. Contohnya, batu nisan Maulana Malik Ibrahim yang dibawa dari G. Jeram mempunyai bentuk seperti kepala terbalik yang menunjukkan adanya pengaruh Parsi.
Selain batu nisan, masjid merupakan karya seni Islam yang terpenting dinusantara. Dari segi coraknya, masjid-masjid yang menunjukkan corak dari abad 14 hingga abad 18. Masih berbentuk tradisional. Misalnya pengaruh tradisi ini dapat dilihat pada bentuknya yang tersusun sebagai lanjutan daripada sen i Bali yang disebut 'Meru'. Pengaruh Hindu lebih jelas lagi pada bentuk dan bangunan menara kudus yang didirikan pada zaman Sunan Kudus. Terdapat juga pengaruh masyarakat tradisi pada bentuk perhiasannya. Contohnya pola-pola yang menjadi perhiasan yang berasal dari zaman pra-Islam seperti daun-daunan, bunga teratai, bukit-bukit karang, pemandangan dan garis-garis geometri. Walaupun masih terdapat unsur bercorak haiwan tetapi dibuat dalam bentuk yang samar. Disamping itu, terdapat juga perkembangan kaligrafi atau seni khat Islam. Ini dapat dilihat pada makam, masjid dan sebagainya. Contohnya masjid terdapat ukiran khat pada mihra, mimbar, bingkai atau lengkung tiang dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa seni ini juga dipengaruhi oleh unsur pra-Islam yang telah lama seperti dengan masyarakat tempatan.
Bagi membuktikan pengaruh Islam dalam perundangan di Nusantara, undang-undang di negeri Melaka boleh dijadikan sebagai contoh yang jelas kerana undang-undang tersebut bukan sahaja dilaksanakan di negeri Melaka bahkan ianya berpengaruh di seluruh negeri-negeri di Sumatera. Lebih-lebih lagi undang-undang tersebut dapat diindoktrinasikan oleh kerajaan Islam Acheh yang bertanggungjawab mengambilalih kuasa politik, perundangan dan pendidikan selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi.

PENGARUH ISLAM DALAM BIDANG PERUNDANGAN
Undang-undang Melaka dijadikan undang-undang pemerintahan kerajaan tersebut terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, undang-undang negeri yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka, mengandungi undang-undang jenayah, muamalah, keluarga, keterangan dan acara, syarat-syarat menjadi raja serta tanggungjawab mereka dan pembesar-pembesar negeri terhadap pemerintahan. Kedua ialah Undang-undang Laut Melaka yang mengandungi perkara-perkara yang berhubung dengan peraturan pelayaran dan perniagaan, kesalahan jenayah perdagangan serta bidang kuasa nakhoda kapal. Oleh kerana Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang induk yang meliputi undang-undang lain di dalam negeri di samping pengaruhnya terhadap negeri-negeri Melayu di bawah empayarnya, amatlah jelas ianya dijadikan contoh tentang wujudnya pengaruh Islam dalam perundangan. Undang-undang Syariah telah diamalkan oleh kerajaan Islam. Undang-undang ini berkaitan dengan jenayah dan hal-hal awam seperti perkahwinan, jual-beli dan pembahagian harta pusaka. Terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan hendaklah dilangsungkan oleh orang-orang tertentu yang dilantik oleh Sultan. Persetujuan wali adalah wajib dan dalam kes-kes yang tertentu Sultan boleh bertindak sebagai wali.

PENGARUH ISLAM DALAM BIDANG KEPERCAYAAN
Menurut E.B.Taylor, kepercayaan kepada makhluk halus dan roh merupakan asas kepercayaan agama yang mula-mula tumbuh dalam alam pemikiran manusia primitif. Kepercayaan animisme merupakan satu bentuk cultural universals yang wujud dikalangan suku-suku primitif.
Dalam kepercayanan rakyat di nusantara terdapat anggapn bahawa roh orang yag telah mati boleh masuk ke dalam tubuh binatang, misalnya suku Nias, disebuah Pulau yang terletak dibarat Sumatera mempercayai seekor tikus yang keluar masuk rumah dianggap sebagai roh daripada orang yang telah mati beranak. Kadang-kadang roh itu memasuki tubuh babi atau harimau dan dipercayai binatang itu akan menganggu orang yang menjadi musuh dimati pada masa hidupnya. Dimana mereka percaya roh simatai akan menjelma kembali ke tubuh makhluk lain. Jikalau roh itu baik akan menjelma menjadi haiwan yang jinak dan sekiranya sebaliknya roh itu akan menjelma di dalam tubuh haiwan yang liar. Ini juga disebut sebagai penjelmaan dewa-dewa sama ada jahat auatu bai k. Islam mengubah pandangan dunia orang melayu daripada mempercayai dewa-dewa seperti yang mereka anuti pada zaman hindu kepada mempercayai Tuhan yang Maha Esa. Kepercayaan yang dapt kita lihat disini adalah kepercayaan kepada keramat. Keramat ini adalah amalan kepercayaan asal penduduk tempatan kepada roh dan semangat.
Keramat adalah kepercayaan Brahma dikalangan orang Hindu iaitu kuasa untuk melakukan sesuatu yang ajaib boleh dicapai dengan beramal dengan mengenepaikan kebendaan dan kemewahan dunia. Yang demikian tidaklah menghairankan jika di negeri-negeri dimana kepercayaan Brahma berkembang pada satu ketika, seperti di kepulauan Melayu, maka kepercayaan kepada keramat yang boleh melakukan sesuatu yang ajaib khususnya mendapat sambutan dikalangan penduduknya. Kerana kepercayaan kepada keramat kebetulan secocok dengan kepercayaan kepada orang-orang sihir dan dukun. Tetapi pemujaan keramat dikalangan orang Islam adalah disebabkan kebanyakan mereka memuliakan pemimpin-pemimpin Sufi yang dianggap sebagai keramat dan menziarahi kubur-kubur mereka.
Upacara dimakam keramat biasanya terdiri dari campuran unsur-unsur Islam dan bukan Islam. Doa dan bacaan ayat-ayat al-Quran itu sahajalah daripada unsur Islam yang diamalkan dalam upacara itu. Mengikat kain serta benang bewarna-warni atau membuat dapur batu di pintu makam itu sebagai tanda memohon berkat itu adalah amalan yang dibawa oleh orang India Islam. Persembahan biasa yang terdiri daripada telur warna merah dan nasi kunyit ialah bercorak kemelayuan, walaupun kepercayaan lama tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, namun kebudayaan Islam telah berjaya mempengaruhi bentuk-bentuk kepercayaan Melayu lama dengan memperkenalkan konsep Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa dan Muhammad sebagai rasul. Misalnya dalam jampi atau mantera di bawah ini dimasukkan konsep Islam sebagai menggantikan fahaman ketuhanan, animisme dan Hinduisme.Walaupun begitu unsur dewa-dewi ini berfungsi sebagai makhluk alam ghaib seperti hantu dan jembalang yang masih pengaruhi lagi alam pemikiran orang Melayu hingga dewasa ini. Walaupun ada fahaman dan amalan baru, kepercayaan dan upacara peribumi tidak tersingkir, penafsiran baru dan sisa dari kepercayaan lama turut berkembang dalam struktur kepercayaan rakyat Melayu yang kompleks itu.

PENGARUH ISLAM DALAM BIDANG KESUSASTERAAN
Sebelum kedatangan unsur dari luar, masyarakat peribumi sudahpun mempunyai kesusasteraan yang tersendiri. Sebelum masyarakat tempatan tahu menulis, melalui cara pertuturan sahajalah mereka menyampaikan perasaan atau curahan hati masing-masing. Ini dikenali sebagai sastera lisan. Dari percakapan yang pendek membawa kepada percakapan yang panjang hingga menggambarkan sesuatu cerita. Dengan ini wujudlah jenis-jenis kesusasteraan mengikut kaedah namanya yang sesuai dengan zaman itu seperti bidalan, peribahasa, perumpamaan dan perbilangan. Selain itu, pantun juga merupakan sastera yang tertua yang terdapat pada masyarakat Melayu. Hasil sastera yang dihasilkan ini adalah melalui pengalaman dan pemerhatian masyarakat terhadap sesauatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari.
Kedatangan unsur luar telah memperkayakan lagi unsur peribumi ini.
Setelah kedatangan pengaruh India, kita dapat lihat bagaimana unsur tempatan telah diserapi oleh pengaruh ini. Pengaruh India yang paling penting ialah penerimaan dua buah epik Ramayana, lahirnya karya-karya prosa dan juga puisi seperti Hikayat Seri Rama, Rama Keling dan sebagainya. Walaupun terdapat pengaruh ini, tetapi jika ditinjau dengan lebih mendalam ternyata warisa peribumi masih menebal. Setelah kedatangan pengaruh ini bahasa sanskrit telah dipilih sebagai bahasa pengucapan intelektual, tetapi ia lebih merupakan bahasa golongan elit. Bagi rakyat jelata bahasa ini amat asing, ini menyebabkan pengaruhnya terbatas dalam lingkungan kraton sahaja. Tentang pengaruh epik pula, harus dibezakan di antara sifat-sifat asal epik itu dengan cerita-cerita yang terdapat di Nusantara. Pada hakikatnya, cerota Srirama di Nusantara adalah saduran bebas, bukannya terjemahan asli. Sehingga bersifat indonesia asli, hanya bahannya sahaja yang dipinjam. Seolah-olah Melayu meminjam bahan asing untuk melahirkan diri sendiri.
Keperibadian sendiri lebih jelas jika dilihat pada cerita-cerita panji diJawa, bukannya daripada pengaruh Hindu. Pengaruh Hindu pula bukan terb atas di Jawa, bahkan hingga ke Thailand dan Kemboja. Jadi disini bukan sahaja masyarakat Nusantara mempunyai keperibadian sendiri, malah berjaya pula menyebarkan pengaruhnya keluar daerahnya sebagaimana epik-epik India tersebut.Menurut Prof. Mohd. Taib Osman, karya-karya sastera daripada warisan Hindu itu masih dipercayai segala isi ceritanya, miskipun orang melayu sudah menganut agama Islam selama beratus-ratus tahun. Antara unsur kepercayaan Hindu daripada epik-epik tersebut yang mempengaruhi karya sastera yang lain ialah cerita dewa-dewi yang bersifat manusia dan Tuhan, kejadian yang luar biasa seperti penjelmaan dalam pelbagai bentuk serta senjata ghaib dan sakti. Setelah kedatangan Islam di Nusantara, proses penanaman aqidah Islam melalui cerita atau kisah-kisah melalui dua cara iaitu dengan mengubahsuai cerita yang sedia tersebar dengan unsur Islam dan mengenengahkan cerita-cerita baru yang berasal dari tradisi Islam. Mengenai kaedah yang pertama, cara yang dilakukan ialah memasukkan unsur Islam ke dalam sastera yang berasaskan epik Hindu yang terkenal iaitu Ramayana dan Mahabrata. Kaedah yang kedua ia dilakukan untuk mengimbangi atau mengambilalih cerita-cerita yang berteraskan kedua-dua epik tersebut.
Kesusasteraann dimulakan dengan cara lisan kemudian diajarkan pula tulisan huruf arab (jawi), dan mulalah ditulis dan disalin kitab-kitab yang senang-senang yang berkaitan dengan ugama. Contohnya, seperti kitab-kitab risalat Dua Kalimah shahadah, peraturan dan rukun-rukun sembahyang, peraturan puasa dan sebagainya lagi. Kemudian dikembangkan pula dengan doa-doa dan kisah-kisah Nabi, kitab fekah, tafsir al-Quran, hikayat Para Nabi, cerita pahlawan Islam dan lain-lain lagi. Kedatangan Islam menyebabkan kesusasteraan masyarakat peribumi semakin berkembang. Kesusasteraan masyarakat tempatan tidak hilang malah ada kekal sehingga ke hari ini. Contohnya, sehingga ke hari ini khazanah yang begitu bernilai iaitu pantun masih kekal dan mutunya masih tidak dapat ditandingi oleh ciptaan generasi masa kini.













Kesimpulan
Berdasarkan tradisi sosial sebagaimana yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu, ternyata agama Islam telah menjadi agama rasmi Melaka. Dalam sistem pemerintahan pada masa itu jelas bahawa raja-raja telah melantik kadi sebagai penasihat mereka berhubung dengan hal-ehwal agama. Islam merupakan cara hidup yang sempurna, mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa segala kegiatan politik, sosial, ekonomi, ideologi, undang-undang, ketenteraan dan kepercayaan terarah sesuai dengan agama Islam. Haluan politik kerajaan di Nusantara selepas kedatangan Islam adalah berasaskan kepada ciri-ciri politik Islam. Sultan haruslah memerintah secara adil, berasaskan kepada hukum Syariah yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Pengaruh Islam menyebabkan lahirnya satu sikap di kalangan masyarakat Nusantara iaitu pemberian sedekah. Setiap tahun, peratusan tertentu dari pendapatan mereka disedekahkan kepada orang miskin. Kedatangan Islam juga telah melahirkan ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu. Pendidikan Islam merupakan proses yang berperanan membawa perubahan kepada sekalian manusia yang membawa kepada kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat yang berdasarkan al-Quran dan al-Hadis.



Bahan rujukan
Abdul Rahman Hj. Abdullah (1989).Islam dalam Sejarah Asia Tenggara Tradisional. Penerbitan Pena Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
Abdullah Ishak (1992). Islam Di Nusantara. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.
Dusuki Hj. Ahmad (1978). Ikhtisar Perkembangan Islam. DBP, Kuala Lumpur.
M.A. Rauf (1987). Ikhtisar Sejarah Islam. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Siddiq Fadil (1993). Tradisi Kesultanan : Perspektif Islam. Institut Kajian Dasar, Malaysia.
Sufian Taimon (1973). Intisari Sejarah: Asia Tenggara. DBP, Kuala Lumpur.

Tidak ada komentar: