Selasa, 30 Maret 2010

MAJLIS MEGA PERPADUAN 2002

1.0 Pengenalan
Ucapan ialah bahan atau isi bicara yang ingin disebarkan kepada orang lain. Ianya merupakan isi kandungan atau maklumat yang disampaikan oleh pengucap kepada pendengarnya. Ianya boleh terdiri dari sebarang topik yang menyentuh sebarang subjek asalkan disesuaikan dengan pendengarnya. Manakala pengucap pula adalah individu yang merupakan sumber atau punca datangnya mesej. Sesiapa sahaja yang mempunyai bahan atau maklumat untuk dikongsi dengan orang lain sebenarnya boleh menjadi pengucap.

Kertas kerja ini adalah salah satu kertas kerja yang ditulis bagi mengkaji teks ucapan yang telah disampaikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke empat iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Teks ucapan yang bertajuk “ Majlis Mega Perpaduan 2002 “ telah dipetik dari Koleksi Ucapan Mahathir 2002 yang disusun oleh Razali Kidam dan Amida Hamim. Koleksi ucapan ini diterbitkan di Malaysia oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. Teks ucapan ini disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir sendiri di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Januari 2002 dihadapan golongan masyarakat berbilang kaum.












2.0 Biodata Ringkas Pengucap
Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925 di No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Bapa beliau bernama Mohamad bin Iskandar dan ibunya bernama Wan Tempawan binti Wan Hanafi. Bapa beliau ialah seorang guru bahasa Inggeris dan juga merupakan Guru Besar pertama sekolah Inggeris di Alor Setar, yang sekarang ini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid ( KSAH ). Ibunya mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman iaitu bekas Menteri Besar yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama “ Terusan Wan Mohamad Saman “. Beliau mempunyai sembilan adik-beradik, iaitu empat perempuan dan lima lelaki yang mana Dr. Mahathir merupakan anak bongsu.

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1932, beliau melanjutkan pelajaran di Government English School ( GES ), kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Beliau akhirnya lulus Sijil Tinggi Pelajaran di sekolah tersebut. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, Dr. Mahathir telah menghabiskan masanya dengan berniaga cendol, diikuti dengan membuka kedai kopi dan kemudiannya gerai buah-buahan di Pekan Rabu, Alor Setar.

Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan ( MBBS ) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doctor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia. Pada tahun 1945 Dr. Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957. Dr. Mahathir melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah binti Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956. Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu empat lelaki dan tiga perempuan.

Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui Negara kearah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran dalam segala lapisan masyarakat Malaysia. Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah Negara yang berbilang bangsa melalui pemeliharaan suatu golongan pertengahan orang Malayu. Walaubagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannnya yang autokratik dan dituduh bersifat kronisme.

Beliau juga merupakan seorang tokoh politik antarabangsa yang suka berterus terang dan bersifat kontroversi. Dr. Mahathir dikaitkan dengan pembangunan pelbagai projek mega zaman pemerintahannya seperti Kuala Lumpur City Centre ( KLCC ), Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA ) dan Koridor Raya Multimedia ( MSC ).

Selepas persaraannya, nama Dr. Mahathir terus terpahat sebagai “ Bapa Pemodenan Malaysia “, negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah Negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Pada Jun 2005, beliau dianugerahkan gelaran Tun iaitu gelaran kehormatan yang tertinggi di Malaysia melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. Beliau merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara.









3.0 Ringkasan isi dan idea-idea utama dalam teks.
“ Majlis Mega Perpaduan 2002 “
Terlebih dahulu tahniah kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat atas daya usahanya mengadakan Majlis Mega Perpaduan ini. Perhimpunan ini sebagai wadah dan peringatan untuk terus meningkatkan lagi semangat perpaduan yang ada dalam diri kita dan juga masyarakat.

Sambutan Mega Perpaduan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita memelihara dan mengamalkan perpaduan di negara ini. Tanggungjawab mengekalkan perpaduan ini bukanlah tanggungjawab Kerajaan atau pihak-pihak tertentu sahaja malah setiap daripada kita tidak terkecuali daripada tugas dan tanggungjawab ini. Oleh itu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut, kita mestilah sentiasa member keutamaan kepada kepentingan masyarakat dan Negara serta mampu berfikir dan bertindak secara rasional.

Insiden pergaduhan di Jalan Klang Lama merupakan peristiwa yang sangat mendukacitakan kita semua dan insiden ini juga memberi kesan yang begitu mendalam. Kejadian ini serta beberapa lagi peristiwa yang menyentuh perpaduan yang berlaku sejak kebelakangan ini memberi mesej penting kepada kita bahawa perpaduan yang kita bangga-banggakan selama ini, tidak kita awasi boleh berlaku walaupun salah faham kecil.

Janganlah kita beranggapan bahawa perpaduan di negara kita telah mantap dan dengan itu kita tidak perlu lagi berusaha untuk mempertingkatkan tahap perpaduan yang sedia ada. Kita perlu sedar bahawa sekiranya perpaduan rapuh dan mudah terjejas, ini akan menyukarkan lagi usaha kerajaan bersama rakyat untuk membangun dan memajukan Negara.Oleh kerana suasana ekonomi Negara pada masa sekarang tidak begitu memberangsangkan, maka kita perlu sedar bahawa keupayaan untuk keluar daripada kemelut ini sangat bergantung kepada sejauh mana kita sanggup untuk bersatu, berkerjasama dan berusaha membangunkan Negara bersama-sama.

Apabila memperkatakan tentang pentingnya kita bersama-sama memelihara dan mengekalkan perpaduan, saya sedih dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang mengecam dan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan. Mereka menghasut dan meracuni pemikiran rakyat supaya membenci kerajaan dan menganggap bahawa sesuatu insiden yang berlaku kononnya sandiwara kerajaan. Justeru itu, rakyat perlu sedar agar tidak mudah terpengaruh oleh pandangan agama dan politik yang sempit yang diamalkan oleh pihak-pihak tertentu.

Semua pihak haruslah bekerja dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh agar apa jua ketegangan dan perselisihan yang timbul baik daripada segi politik, ekonomi, agama dan budaya dapat dikawal. Masyarakat yang tinggal dalam satu-satu kawasan mestilah saling mengenali antara satu sama lain agar tidak timbul salah faham antara mereka. Budaya hormat menghormati, saling membantu dan bertolak ansur mestilah senantiasa diamalkan.

Rukun Tetangga merupakan antara institusi sosial yang memainkan peranan penting untuk menjana semangat perpaduan di kalangan masyarakat. Di samping itu juga Rukun Tetangga juga berfungsi untuk memantau dan menyelesaikan isu-isu yang berlaku di peringkat akar umbi sebelum ia menjadi lebih buruk dan melarat. Kerajaan akan terus memberikan sokongan padu di samping menyalurkan lebih banyak bantuan kepada Rukun Tetangga dalam melaksana dan menjayakan program-program kemasyarakatan.



Sempena dengan sambutan Mega Perpaduan ini, bersama-samalah berusaha untuk meningkatkan lagi persefahaman dan semangat perpaduan di antara kita. Tanpa perpaduan, negara kita tidak akan berupaya untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia kita mestilah mempunyai kemahuan yang tinggi serta sanggup mempertahankan maruah bangsa dan negara.

Tidak ada komentar: